Konsep Wacana

Konsep wacana
Wacana adalah unit bahasa yang tertinggi dalam hierarki bahasa. Perkataan wacana berasal daripada bahasa Jawa iaitu wocono. Wocono pula terdiri daripada perkataan cono yang bermaksud baca. Dalam bahasa Inggeris pula, discourse berasal daripada bahasa Latin discursus yang bermakna ‘larian ke dan dari’ (Webster’s 1979: 522). Menurut Chafe (1992: 356) wacana digunakan dengan pelbagai maksud oleh pelbagai pengkaji. Tetapi pada umumnya wacana dilihat sebagai sesuatu yang melampaui sempadan ayat yang terpisah-pisah. Menurut Trask (1993: 84) pula, wacana dikatakan sebagai siri ujaran yang bersambungan oleh seorang penutur atau lebih. Definisi Trask lebih khusus daripada definisi Chafe yang pertama, iaitu menekankan aspek lisannya.

            Kita dapat menyimpulkan di sini bahawa wacana adalah satu unit bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana terdiri daripada wacana lisan atau tulisan seperti khutbah, pidato, ayat, ceraian bab, buku dan sebagainya yang memperlihatkan kesatuan dan hubungan di antara teks-teks tersebut. Oleh yang demikian, wacana juga mempunyai aspek-aspek tersendiri yang menjadikan sesebuah ayat, ceraian bab, buku dan sebagainya adalah sebuah wacana. Terdapat tujuh aspek penting yang terkandung dalam wacana iaitu tautan, runtutan, tahap tujuan, penerimaan, maklumat, interteks dan keadaan. Tanpa ketujuh-tujuh aspek ini, wacana dianggap tidak sempurna dalam proses menyampaikan maklumat.

No comments:

Post a Comment