Isu-isu dalam Kajian Wacana

Tahap penerimaan dalam kajian analisis wacana

Tahap penerimaan
Wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap dan paling tinggi dalam pertuturan dan penulisan. Hal ini memperlihatkan kesinambungan fikiran, baik dari aspek komunikasi dan juga konteks. Selain itu, wacana juga merupakan satu rententan ujaran yang berkaitan antara satu sama lain mengikut urutan kalimat-kalimat.

Menurut Idris Aman (2010), kebolehterimaan bermaksud idea, gagasan atau mesej yang diutarakan dalam wacana mesti mampu difahami dan diikuti oleh khalayaknya. Oleh itu, urutan ayat atau teks dalam wacana bertulis atau ujaran dalam tuturan perlu diberi perhatian. Jikalau idea itu sukar atau mujarad pewacana wajar memudahkan cara penyampaiannya dengan memperbanyak keterangan, contoh, huraian, definisi dan lain-lain.

Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2012: 95), penerimaan merupakan salah satu tahap yang terdapat dalam runtutan. Penerimaan akan menilai tahap penerimaan dan juga pemahaman pendengar ataupun pembaca terhadap sesebuah teks. Pada tahap penerimaan, seseorang pembaca atau pendengar akan menentukan sesebuah wacana yang dihasilkan oleh penulis atau penutur dapat difahami dengan jelas ataupun tidak. Oleh sebab itu, pendengar atau pembaca merupakan penerima sesebuah wacana. Seterusnya, tahap penerimaan seseorang itu tinggi sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Tambahan pula, tahap penerimaan menjadi tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan. Tahap penerimaan dalam analisis wacana ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu :

Penerimaan Tinggi
Penerimaan tinggi bermaksud sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan oleh penutur atau penulis sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Tambahan pula, tahap penerimaan akan menjadi tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan. Selain itu, penerimaan yang tinggi terhadap sesuatu wacana yang diujarkan menunjukkan keberhasilan sesuatu penghasilan wacana tersebut. Hal ini kerana, penerimaan tinggi tersebut menunjukkan wacana tersebut mendapat tarikan pendengar atau pembaca kerana mudah difahami dengan jelas. Di samping itu, tahap penerimaan tinggi sekiranya seseorang penulis atau pembicara mengembangkan idea topik dengan sempurna dan lengkap bagi memudahkan pembaca memahami tujuan penulisan dan berpuas hati dengan pembacaan agar mereka dapat memahami wacana yang hendak disampaikan. Contohnya seperti yang berikut :
Autistik ini dikenali sebagai neurodevelopmental disorder iaitu satu kecelaruan dalam pembentukan otak. Fungsi dan bentuk bahasa individu autistik adalah agak terkebelakang jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang seumur dengannya. Individu autistik kurang berpotensi untuk membentuk fleksibiliti dalam bidang penggunaan bahasa. Pertuturan mereka berrgantung kepada hafalan. Tajuk perbualan mereka terhad walaupun mereka mempunyai perbendaharaan kata yang luas. Masalah kata ganti nama adalah masalah yang sering terjadi dalam pertuturan individu autistik. Kerencatan akal yang dialami oleh kanak-kanak autistik adalah lebih teruk jika diukur dari sudut psikologikal, di mana tindak balas terhadap rangsangan adalah perlahan.

        Berdasarkan contoh ayat di atas adalah dianggap sebagai wacana. Hal ini kerana, ayat tersebut bermakna dan memperlihatkan saling berkaitan antara suatu ayat dengan suatu ayat yang seterusnya. Secara tidak langsung, memberikan kefahaman dan kejelasan kepada pembaca atau pendengar terhadap sesuatu teks. Berdasarkan ayat tersebut ayat topiknya ialah autistik. Jika dilihat ayat seterusnya menerangkan tentang ciri-ciri bagi individu yang mengalami autistik. Ayat di atas saling berkesinambungan antara ayat. Ayat tersebut dilihat menepati tujuan seseorang penulis dalam sesebuah wacana. Hal ini kerana, ayat tersebut mempunyai makna dan mempunyai kesinambungan antara ayat-ayat. Oleh itu, pembaca dapat memahami tujuan penulis tersebut. Hal ini menunjukkan tahap tujuan seseorang penulis adalah sama tinggi dengan tahap penerimaan pembaca apabila pembaca dapat memahami sesebuah teks yang ditulis oleh penulis ayat ini. Contoh ayat yang lain boleh dilihat adalah berdasarkan ayat yang berikut:
  Pokok kari atau nama saintifiknya ialah Murraya Koenigii merupakan sejenis pokok yang kecil, malar hijau dan ketinggiannya boleh mencapai 3-5 meter. Batangnya tidak begitu lurus, berdahan banyak dan bercabang-cabang. Batang pokok kari ini adalah jenis kayu lembut ketika muda dan menjadi kayu yang keras apabila dewasa. Daun kari mempunyai susunan yang bertentangan dengan bentuk epiliptik berukuran 2-3 cm panjang dan 1.0-1.5 cm lebar. Daun kari ini akan membentuk silara yang agak rimbun. Daun kari ini mempunyai bunga kecil yang berwarna putih.
    
Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat tersebut dianggap sebagai sebuah wacana kerana membawa makna. Hal ini kerana, ayat tersebut menunjukkan bahawa penulis ingin menyampaikan sesuatu maklumat kepada pembaca tentang sesuatu perkara iaitu berkaitan dengan pokok kari. Tahap penerimaan seseorang pembaca terhadap teks tersebut dapat dinilai. Hal ini kerana, pembaca dapat memahami tujuan penulis menulis wacana tersebut. Oleh sebab itu, menunjukkan bahawa tahap tujuan seseorang penulis adalah sama dengan tahap penerimaan pembaca. Antara contoh lain juga dapat dilihat di bawah ini :
Kanak-kanak yang menghidapi Sindrom Down mempunyai ciri-ciri fizikal yang unik kerana mempunyai iras muka yang hampir sama. Mereka juga mempunyai pangkal hidung yang kemek. Mata mereka adalah sepet iaitu bahagian luarnya naik ke atas dan terdapat lipatan pada kedua-dua sisi hidung yang menutupi bahagian dalam mata. Selain itu, mata mereka sentiasa berair dan kelihatan merah. Saiz mulut mereka adalah kecil dan sentiasa terbuka serta tidak tertutup dengan rapat. Tambahan pula, saiz lidah yang tebal, kasar dan pendek menyebabkan lidah penghidap Sindrom Down selalu terjelir. Di samping itu, mereka mempunyai bentuk badan yang gempal, rendah dan agak bongkok. Mereka juga majoritinya berambut lurus dan lembut.

            Berdasarkan contoh ayat di atas penulis sebenarnya ingin menyampaikan maklumat kepada pembaca atau pendengar berkaitan dengan ciri-ciri fizikal kanak-kanak yang menghadapi Sindrom Down. Jika dilihat ayat tersebut mempunyai makna. Hal ini kerana ayatnya mempunyai perkaitan dan mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Tahap penerimaan oleh pembaca dan pendengar terhadap teks ini dapat dinilai. Hal ini kerana, pembaca atau pendengar dapat memahami tujuan penulis menulis sesebuah wacana tersebut. Contoh yang lain adalah seperti di bawah:

Obesiti atau kegemukan menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit kronik yang boleh membawa kepada kematian. Penyakit-penyakit yang dihidapi kesan daripada obesiti boleh merendahkan kualiti hidup penghidapnya. Antara penyakit-penyakit yang disebabkan oleh obesiti ialah Dyslipidaemia, kegagalan jantung, Osteoarthritis, dan lain-lain lagi.

            Ayat di atas menjelaskan maklumat mengenai implikasi kegemukan atau obesiti. Ayat di atas merupakan laras sains kerana menggunakan istilah-istilah sains seperti dyslipidaemia, Osteoarthritis dan lain-lain. Ayat ini mempunyai makna dan memenuhi sesebuah wacana. Hal ini demikian kerana, setiap ayat yang ditulis mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Tahap penerimaan bagi ayat ini adalah dapat dinilai kerana pembaca atau pendengar dapat memahami dengan jelas apa yang cuba disampaikan oleh penulis.

Penerimaan Rendah
Penerimaan rendah merujuk kepada sesuatu ayat yang disampaikan oleh penulis atau penutur yang tidak bermakna. Sekiranya ayat tersebut tidak membawa apa-apa makna maka ayat tersebut akan sukar difahami oleh pendengar atau pembaca. Tambahan pula, ayat seperti itu tidak boleh dikategorikan sebagai sesebuah wacana. Sekiranya fenomena ini terjadi maka tahap penerimaan pembaca atau pendengar terhadap sesebuah ayat adalah rendah. Antara contoh ayat tersebut adalah seperti yang berikut:

Nur Sakinah merupakan seorang anak yang sangat taat kepada ibu bapanya. Dia selalu dimarahi oleh ibu bapanya kerana selalu melakukan perkara yang dilarang sehinggakan ibu bapanya berasa kecewa dengan sikapnya itu.

            Berdasarkan ayat di atas adalah tidak boleh dianggap sebagai sebuah wacana. Hal ini kerana ayat tersebut tidak bermakna dan secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan kepada pembaca atau pendengar. Ayat di atas merupakan ayat yang berlawanan dengan ayat seterusnya. Jika dilihat ayat tersebut menerangkan bahawa ‘Nur Sakinah seorang anak yang sangat taat kepada ibu bapanya’ adalah berlawanan dengan ‘Dia selalu dimarahi oleh ibu bapanya kerana selalu melakukan perkara yang dilarang sehinggakan ibu bapanya berasa kecewa dengan sikapnya itu’. Hal ini bermakna ayat tersebut tidak membawa makna dan sekaligus menyebabkan tujuan wacana ayat tersebut tidak jelas.
Apabila keadaan ini berlaku sudah pasti akan menimbulkan kekeliruan kepada pembaca atau pendengar. Hal ini telah mengakibatkan pembaca atau pendengar tidak memahami sesuatu ayat yang ingin disampaikan dengan jelas dan tepat. Tambahan pula, ayat tersebut tidak menunjukkan kesinambungan dan perkaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Di samping itu, keadaan ini akan menyebabkan tahap tujuan seseorang penulis atau penutur tidak sampai kepada tahap penerimaan seseorang pembaca dan pendengar kerana pembaca atau pendengar tidak memahami makna ayat tersebut serta tujuan penulis atau penutur menyampaikan ayat tersebut. Oleh itu, ayat tersebut dianggap mempunyai tahap penerimaan yang rendah dan tidak digolongkan sebagai sebuah wacana yang utuh. Antara contoh ayat yang lain adalah seperti yang berikut:
Maslinda seorang yang sentiasa memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Dia selalu dipandang serong oleh masyarakat kerana selalu memakai pakaian yang menjolok mata.

Berdasarkan ayat di atas menunjukkan bahawa ayat tersebut membawa makna yang bertentangan dengan dengan makna ayat yang kedua. Ayat yang disampaikan kepada pembaca atau pendengar tersebut adalah tidak bermakna. Ayat di atas tidak menunjukkan kesinambungan dan perkaitan antara satu ayat dengan satu ayat yang lain. Ayat itu sepatutnya apabila Maslinda seorang yang sentiasa memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat maka sudah tentulah dia tidak akan memakai pakaian yang menjolok mata sehinggakan masyarakat memandang serong terhadapnya. Jika wujudnya pertentangan seperti yang berlaku pada ayat ini akan mengakibatkan pembaca atau penutur keliru dalam memahami makna sebenar ayat tersebut. Ayat seperti ini tidak dianggap sebagai sebuah wacana. Keadaan ini akan menyebabkan tahap penerimaan terhadap ayat ini menjadi rendah. Contoh yang seterusnya :

Leman seorang pelajar yang rajin berusaha dan cerdik. Di sering melakukan salah laku buli dan vandelisme serta sering dimarahi oleh guru kelasnya.

          Contoh ayat di atas menunjukkan dua ayat yang mengandungi makna yang bertentangan antara satu sama lain. Sekiranya penulis atau penutur menyampaikan sesuatu ayat yang sebegitu maka pendengar atau pembaca akan menghadapi kesukaran untuk memahami makna ayat tersebut dengan jelas. Kekeliruan makna ayat tersebut akan menyebabkan ayat ini tergolong dalam tahap penerimaan yang rendah. Ayat di atas sepatutnya apabila Leman seorang pelajar yang rajin berusaha dan cerdik maka sudah tentulah dia tidak akan melakukan salah laku buli dan vandelisme serta sering dimarahi oleh guru kelasnya. Namun, ayat tersebut berlawanan antara ayat yang pertama dengan ayat yang kedua. Contoh berikutnya ialah:

Persembahan deklamasi sajak oleh Firdaus amat menarik dan mendapat tepukan yang gemuruh. Persembahannya begitu hambar dan membosankan.

Berdasarkan contoh di atas ayatnya juga tidak berkesinambungan dan tidak ada perkaitan antara ayat yang pertama dengan ayat yang kedua. Sepatutnya apabila persembahan deklamasi sajak oleh Firdaus amat menarik dan mendapat tepukan yang gemuruh maka sudah tentu persembahannya tidak hambar dan tidak membosankan. Contoh ayat tersebut telah memberi kekeliruan makna kepada pendengar atau pembaca. Tambahan pula, ayat yang ingin disampaikan oleh penutur atau penulis tidak jelas maknanya. Oleh sebab itu, ayat ini digolongkan sebagai tahap penerimaan yang rendah kerana tahap tujuan penulis atau penutur tidak sampai dengan jelas kepada pembaca atau pendengar.

No comments:

Post a Comment